PETALING JAYA – Pasangan selebriti terkenal Awal Ashaari dan Scha Alyahya selamat menimang kehadiran cahaya mata kedua yang dilahirkan pada pukul 9.15 pagi tadi.
Berita gembira berkenaan dikongsikan Awal menerusi hantaran Instagram dengan memaklumkan isterinya Scha selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.2 kilogram di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.
“Bismillah. Kami sekeluarga memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kelahiran cahaya mata kedua kami pada hari ini, Jumaat 12 Februari bersamaan 30 Jamadilakhir 1442 hijrah.
“Kedua-dua bayi dan ibu berada dalam keadaan baik dan masih berehat buat masa ini. Kami juga memohon maaf kerana tidak dapat menerima pelawat disebabkan SOP yang ditetapkan,” tulisnya.
Tambah Awal, Scha dijangka akan dibenarkan pulang ke rumah dalam masa beberapa hari lagi.
“Kami bersyukur atas amanat ini dan berterima kasih untuk doa dan sokongan yang diberikan kepada Scha, Awal dan Lara sekeluarga.
“Kami dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa beberapa hari lagi. Insya-Allah, kami akan berkongsi perkhabaran gembira ini dengan anda semua kelak.
“Jaga diri dan selamat datang ke dunia, Baby L,” katanya lagi.
Perkongsian pengacara Melodi itu kemudian dihujani dengan ribuan komen ucapan tahniah daripada peminat termasuklah rakan selebriti. – K! ONLINE