PETALING JAYA – Penyanyi popular Dayang Nurfaizah meluahkan kesyukuran dan terima kasih kepada peminat yang meletakkan album studio terbaharu yang dihasilkan, Belagu kini berada di tangga nombor satu carta Itunes Apple Store, hanya dua jam selepas dilancarkan.
Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty juga terharu dengan sambutan hangat diberikan pendengar dan peminat muzik tempatan.
Album bergenre klasik tersebut menghimpunkan khazanah lagu terbaik tempatan dan nusantara dan diberikan nafas baharu oleh Dayang, mula diedarkan hari ini.
“Saya diberitau pengurus, Sharina Ahmad, Belagu mula diedarkan di seluruh penstriminan muzik tepat jam 12 malam tadi dan dua jam selepas itu album tersebut berada di tangga nombor satu dalam carta album paling laris jualan di Itunes Apple Store.”
“Alhamdullilah! terasa segala perancangan bertahun-tahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini sangat berbaloi. Ternyata apa yang saya mahu kongsikan dengan peminat muzik tempatan diterima baik,” katanya.
Jelas Dayang lagi, sambutan hangat diberikan peminat terhadap album Belagu juga menjadi petanda positif bahawa industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Dayang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang banyak membantu dalam merealisasikan impian menghasilkan Belagu terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Album Belagu menghimpunkan lagu klasik antaranya Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu, Tari Tualang Tiga.
Penyanyi dan komposer muda, Hael Hussaini turut membuat kemunculan istimewa dengan mendendangkan lagu Gurindam Jiwa secara duet dengan Dayang.
Album Belagu merupakan projek khas Dayang yang menyaksikan kerja-kerja rakaman dilakukan secara langsung dengan studio khas dibina dalam sebuah gudang bagi membolehkan segala logistik dan proses rakaman berlangsung dengan sempurna dalam tempoh dua hari.
“Saya berharap generasi muda dapat menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita menerusi Belagu. Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun semua itu akan berkubur begitu sahaja,” jelas Dayang sambil menyifatkan penghasilan album tersebut bukan sahaja penghargaan kepada orang bahkan satu tanggungjawab sebagai anak seni.
Belagu diterbitkan syarikat produksi milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan edaran Universal Music. Album berkenaan boleh dinikmati secara digital menerusi platform maya seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox. – K! ONLINE