TEMERLOH – Seorang warga emas mempunyai penyakit sawan dan darah tinggi yang tinggal seorang diri di rumahnya ditemukan meninggal dunia di rumahnya yang terkunci di Taman Perindu di sini, semalam.
Dalam kejadian itu pasukan bomba telah bergegas ke rumah mangsa, Jamil Ismail, 67, bagi memotong mangga yang terkunci pada pintu hadapan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, dalam kejadian itu seorang anak lelaki mangsa sampai di rumah pada pukul 4 petang untuk melawat ayahnya yang tinggal seorang diri.
“Pengadu mendapati pintu jeriji besi berkunci dengan mangga dan berkali-kali menelefon ayahnya namun tidak berjawab menyebabkan pengadu berasa tidak sedap hati dan memanggil bomba.
“Selepas pintu berjaya dibuka pengadu masuk ke rumah dan mendapati bapanya tidak bergerak dan disahkan meninggal dunia oleh pihak pejabat kesihatan,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Yusri kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan masih giat dilakukan dan berdasarkan pemeriksaan fizikal awal tiada kecederaan mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
Sementara itu, beliau berkata jiran mangsa menyatakan mangsa yang merupakan pesara Pejabat Tanah Jerantut hadir ke surau pada waktu subuh tetapi tidak hadir solat zohor di surau.
“Pengadu menyatakan ayahnya ada penyakit sawan, darah tinggi dan kolestrol tinggi dan tinggal seorg diri di rumah sejak sekian lama setelah kematian ibu pengadu.
“Pengadu menyatakan datang ke rumah setiap hari untuk menziarahi mangsa di rumah tersebut,”ujarnya. – K! ONLINE.