SHAH ALAM – Sikap sambil lewa 10 individu mengingkari pematuhan prosedur operasi standard (SOP) makan di restoran membawa padah apabila dikompaun dalam kejadian di Joker Kafe, Seksyen 13, malam tadi.
Dalam pemeriksaan pukul 9.25 malam itu, kesemua mereka berusia 18 hingga 22 tahun dikenakan kompaun RM1,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pemeriksaan itu hasil maklumat awam berkaitan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kafe berkenaan.
“Hasil pemantauan mendapati terdapat 10 pelanggan di satu meja yang jelas melanggar SOP PKP 2. 0 yang membenarkan dua orang di satu-satu meja.
“Kita turut menahan lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang merupakan seorang pengurus kafe kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, semakan Majlis Bandaraya Shah Alam mengesahkan premis itu beroperasi tanpa lesen sah.
“Pemilik kafe yang berada di Port Dickson, Negeri Sembilan telah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Kerajaan sebelum ini membuat keputusan membenarkan pelanggan makan di premis makanan mulai Rabu lalu.
Bagaimanapun, kebenaran itu terhad hanya dua orang untuk satu meja dan perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter. -K! ONLINE.