RESIDEN Kelab Peminat bola sepak Perak, TBG Mobs, Syamsul Baharin Putera Ahmad Shibi menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah supaya mengadakan pertandingan mereka bentuk logo untuk Perak FC.
Syamsul Baharin berkata, pertandingan tersebut wajar memandangkan logo setiap pasukan memiliki maksud tersendiri selain melambangkan kemegahan serta identiti pasukan Perak FC.
Syamsul Baharin yang lebih dikenali dengan panggilan Putera percaya idea dalam kalangan penyokong juga perlu diambil kira memandangkan ia mampu menyemai rasa bangga dalam jiwa mereka.
“Saya menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak. Titah ini adalah wajar kerana bola sepak merupakan sukan rakyat yang mempunyai penyokong serta peminat di seluruh negeri Perak.
“Oleh itu, idea kreatif dalam kalangan peminat perlu diambil kira memandangkan logo yang digunakan bakal menjadi satu legasi serta lambang kemegahan peminat,” katanya.
Tambah Syamsul Baharin, pertandingan mereka bentuk logo Perak FC perlu dilakukan kerana Perak bakal menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tahun ini.
Justeru katanya, wajar pemilihan logo Perak FC ditentukan menerusi idea serta kreativiti penyokong The Bos Gaurus yang sentiasa berada di belakang pasukan.
“Saya yakin pertandingan mereka bentuk logo pasukan akan menjadi salah satu lakaran sejarah dalam persada sukan bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi kami akan menyambut ulang tahun penubuhan PAFA ke-100,” ujarnya.