SINGAPURA – Seorang pensyarah Matematik di Singapura terlalu khusyuk mengajar menerusi aplikasi siaran langsung Zoom sehingga tidak sedar mikrofon komputernya berada dalam mod ‘bisu’ sepanjang dua jam sesi pembelajaran berlangsung.
Layar skrin Profesor Dong Wang berhenti memberi respons beberapa minit selepas kelas bermula, namun dia tidak menyedari situasi tersebut dan terus mengajar seperti biasa.
Menurut akhbar Daily Mail kelmarin, pelajar-pelajarnya telah mencuba pelbagai cara untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Wang termasuk menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjaya.
Wang hanya menyedari situasi memalukan itu apabila dia bertanya kepada pelajar adakah mereka mempunyai sebarang soalan berkenaan topik yang diajar apabila sesi pembelajaran hampir tamat.
“Tuan, kami tidak mendengar apa yang tuan ajar selama dua jam lepas kerana mikrofon komputer diletak dalam mod ‘bisu’,” kata salah seorang pelajarnya.
Riak terkejut dan kecewa jelas terpancar di wajah lelaki itu apabila mendengar penjelasan tersebut, namun dia tidak melenting, malah memohon maaf kepada pelajarnya.
“Nampaknya, saya perlu ganti kelas hari ini. Lain kali, saya akan lebih berhati-hati dan pastikan telefon bimbit saya boleh dihubungi ketika kelas online berlangsung,” ujarnya.
Menurut laporan The Telegraph, Wang tidak marah kerana menghargai 20 pelajarnya kekal mengikuti sesi bisu itu selama dua jam walaupun mereka boleh memilih untuk keluar kelas. – Agensi