LIVERPOOL – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho meluahkan kekecewaan atas kerapuhan benteng pertahanan selepas tewas 4-5 kepada Everton pada pusingan kelima Piala FA di Goodison Park awal pagi semalam.
Kedua-dua pasukan terikat seri 4-4 pada waktu sebenar permainan, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum The Toffees memastikan gol kemenangan menerusi Bernard.
Mourinho jelas kecewa dengan benteng pertahanan Spurs pada perlawanan itu apabila mudah membenarkan jentera serangan Everton melakukan asakan ke pintu gol mereka.
“Saya gembira ketika kami memegang bola serta mengawal permainan, namun benteng pertahanan sangat mengecewakan. Ia nyata mengubah corak permainan pasukan.
“Kami mendahului permainan seawal minit ketiga, bagaimanapun mereka berjaya jaringkan tiga gol dalam tempoh lebih kurang 10 minit gara-gara kesilapan pertahanan,” luah Mourinho.
Sementara itu, beliau juga hairan dengan sikap penyerangnya, Gareth Bale yang meminta supaya diketepikan daripada perlawanan tersebut kerana belum cergas.
“Saya terkejut apabila dia meminta untuk menjalani imbasan kerana rasa tidak selesa pada otot. Kemudian, dia sekali lagi meminta untuk menjalani rawatan bersama pasukan sains sukan, jadi saya tidak masukkannya ke dalam skuad,” ujarnya. – AGENSI