PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Fabio Quartararo terus pamer taring apabila sekali lagi menempah petak pertama di Litar Jerez pada Grand Prix (GP) Andalusia, Sepanyol semalam.
Pelumba berusia 21 tahun dari Perancis itu meraih petak pertama buat kali kelapan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) meskipun disaingi sengit pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales.
Meskipun Vinales cuba memintas Quartararo pada minit terakhir, namun ia tidak berhasil apabila catatan terbaiknya dibatalkan selepas pelumba Yamaha itu dilihat terkeluar dari litar di selekoh ketujuh.
Pada sesi kelayakan tersebut, Quartararo berjaya merekodkan masa terpantas 1 minit 37.007 saat (s) diikuti Vinales menduduki petak kedua dengan catatan 1.39.110s, manakala pelumba Pramac Racing, Francesco Bagnaia di tempat ketiga.
“Saya bekerja keras dan tidak berapa gembira dengan prestasi hari ini. Secara keseluruhan saya sangat teruja terutama mengenai jentera ini.
“Pada sesi latihan bebas keempat (FP4), kami tampil dengan cemerlang dan saya akan cuba yang terbaik menjelang perlumbaan sebenar nanti,” kata Quartararo.
Sementara itu, juara dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda) tidak berupaya menamatkan sesi kelayakan pertama selepas dilihat keluar lebih awal meskipun sesi saingan tersebut masih mempunyai baki 10 minit perlumbaan. – K! ONLINE