MELBOURNE – Bintang tenis Switzerland, Belinda Bencic mengakui tertekan ketika hampir ditewaskan pada pusingan kedua ketika berdepan pemain veteran Rusia, Svetlana Kuznetsova pada Terbuka Australia semalam.
Pemain berusia 23 tahun itu bermula garang pada set pertama, namun gagal mencatatkan kemenangan straight-set susulan Kuznetsova bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua perlawanan.
Bersambung set penentuan, Bencic mula mengatur rentak dan mengubah permainannya sebelum muncul pemenang pada perlawanan itu dengan keputusan 7-5, 2-6, 6-4.
“Pada perlawanan hari ini (semalam) saya rasa tidak bermain dengan cukup baik dan saya akui tidak berpuas hati dengan gaya permainan ketika berdepan Kuznetsova.
“Pada perlawanan tersebut saya cuba berjuang sebaik yang mungkin walaupun ada pada satu ketika saya sangat marah kerana melakukan kesilapan.
“Secara keseluruhan saya turut gembira kerana dapat melepasinya dan mara ke pusingan seterusnya. Saya harap dapat perbaiki kesilapan dan tidak mengulanginya lagi,” kata Bencic.
Hasil keputusan tersebut, Bencic bakal berdepan tugas berat apabila akan membuat perhitungan dengan juara Terbuka Amerika Syarikat (2019), Elise Martens hari ini.
“Martens merupakan permain yang cukup berpengalaman, malah dia juga pernah meraih gelaran Grand Slam. Sudah pasti saya tidak akan berdepan laluan mudah. Saya harap dapat melakukan terbaik,” tambahnya. – AGENSI