PUTRAJAYA – Rahsia operasi premis dua tingkat tanpa papan tanda di Puchong, Selangor akhirnya terbongkar apabila serbuan mendapati ia lubuk pelacuran warga asing.
Dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) pada pukul 4.30 petang mendapati premis yang menyediakan khidmat urut itu didapati turut menawarkan khidmat pelacuran.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menahan seramai 14 warga asing serta seorang warga tempatan.
Beliau berkata, mereka yang ditahan termasuk 11 wanita warga Vietnam dan tiga lelaki warga Bangladesh.
“Operasi dijalankan ke atas dua buah premis tiga tingkat yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Di samping itu, tiada papan tanda diletakkan di luar premis bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dengan pakej perkhidmatan ditawarkan RM180 hingga RM225.
Kedua-dua pintu premis terpaksa dipecahkan kerana penghuni premis enggan memberi kerjasama.
“Ketika serbuan juga, penjaga premis cuba menghalang pegawai imigresen malah, beberapa wanita warga asing cuba meloloskan diri namun berjaya dihalang.
“Sindiket ini menggunakan aplikasi Telegram sebagai medium untuk mendapatkan perkhidmatan pelacuran itu.
“Kami menemui sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk dihubungi oleh pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatan di premis tersebut yang disembunyikan di atas siling tandas,” katanya. -K! ONLINE