fbpx

K2

Simbolik Tahun Lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tahun Baru Cina tahun ini merupakan Tahun Lembu.-AFP

SAMBUTAN Tahun Baru Cina hari ini menandakan bermulanya tahun baharu bagi masyarakat Tionghua di seluruh dunia.

Di kala pandemik Covid-19 masih membelenggu, masyarakat Cina global kelihatan melakukan persiapan meraikan Tahun Baru Cina bersesuaian dengan norma baharu.

Melabuhkan tirai tahun 2020 dengan haiwan tikus dalam zodiak Cina, sambutan ini menandakan bermulanya zodiak haiwan ox atau lembu bagi tahun 2021.

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, lembu mempunyai gambaran yang sangat positif dan lambang ketekunan, kesyukuran dan kesetiaan.

Seorang pakar astrologi Cina, Thierry Chow yang ditemu bual CNN menyatakan tahun ini ialah tahun lembu dengan elemen besi atau logam.

“Lembu dalam kepercayaan masyarakat Cina adalah mewakili simbol kerajinan. Ia biasanya melambangkan pergerakan, jadi diharapkan penduduk dunia akan kurang statik berbanding tahun lalu dan boleh bergerak kembali selepas pertengahan tahun,” katanya.

TERDAPAT putaran 12 ekor zodiak haiwan termasuk lembu mengikut kalendar Cina.

Pakar astrologi Cina yang berpusat di Hong Kong, Jupiter Lai berkata, sebilangan besar masyarakat menggunakan kepercayaan dan ‘tuah’ yang ada pada haiwan tersebut demi kepentingan dalam industri pertanian.

“Di China, lembu dianggap sebagai binatang yang memberi simbolik kekuatan dan lazimnya dikaitkan dengan penuaian serta kesuburan.

“Buktinya sejak ratusan abad yang lalu, masyarakat Cina menjadikan lembu sebagai elemen utama dalam ritual musim bunga. Pada waktu itu, lembu akan dibuat menggunakan lumpur sebelum ia kemudian dipukul dengan tongkat.

“Bukan itu sahaja, masyarakat juga percaya dengan meletakkan patung lembu di dasar sungai, ia dapat mencegah banjir daripada berlaku di sesebuah kawasan,” katanya.

Terangnya lanjut, dalam amalan feng shui seni Cina kuno, mereka juga menggunakan lembu untuk mengharmonikan manusia dengan persekitaran.

Ini kerana haiwan tersebut dianggap baik, bertenaga dan mampu memakbulkan sesuatu hajat.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dekorasi sebagai persiapan sambutan Tahun Baru Cina di kedai-kedai di Hong Kong baru-baru ini dalam suasana norma baharu.–AFP

Melihatkan aura dan kepercayaan yang dipegang masyarakat terdahulu pada haiwan tersebut, mungkin ada dalam kalangan masyarakat hari ini terpengaruh bahawa tahun baharu pada hari ini bakal membawa sinar dan harapan yang berbeza kepada kehidupan mereka.

Tambahan pula, kitaran 12 bulan pada tahun 2020 menyaksikan pelbagai kisah duka di seluruh pelosok dunia. Pandemik Covid-19 yang melanda negara bukan sahaja mengorbankan ribuan nyawa, malahan menyebabkan pelbagai tekanan hidup yang lain.

Justeru kedatangan tahun 2021 dengan tahun lembu diharapkan membawa tuah.

Bagaimanapun, menurut perunding metafizik Cina, Datuk Joey Yap, haiwan yang mewakili setiap tahun dalam astrologi Cina tidak mempunyai kaitan dengan nasib seseorang.

“Astrologi Cina sebenarnya merupakan subjek yang mendalam. Ramai yang berpendapat bahawa nasib mereka adalah berdasarkan tahun kelahiran, tetapi ia tidak sama sekali.

“Hakikatnya jika berdasarkan astrologi Cina, setiap bulan, hari dan juga jam mempunyai simbol haiwan tersendiri. Setiap simbol haiwan ini pula mewakili sudut kehidupan yang berbeza.

“Haiwan-haiwan ini juga mempunyai elemen masing-masing dan ia dikenali sebagai bazi. Secara ringkasnya, bazi ini boleh dikatakan sebagai panduan hidup individu.

Jelasnya, berpengalaman luas dalam bidang tersebut di Malaysia, beliau juga tidak terlepas daripada sering diasak dengan persoalan bilakah Covid-19 ini akan berakhir?

Positif dengan perubahan semasa akibat pandemik, Joey Yap menjelaskan, individu perlu terima hakikat dan membiasakan diri dengan norma baharu kerana tidak mungkin kehidupan dapat kembali seperti dahulu.

Lima elemen

Bercerita lanjut mengenai metafizik Cina, Joey berkata, setiap haiwan mempunyai elemen tersendiri yang terbahagi kepada lima unsur iaitu kayu, api, tanah, besi dan air.

DATUK JOEY YAP

Secara keseluruhan, terdapat 60 kombinasi berbeza antara lima elemen dan 12 haiwan.

“Umum mengetahui tahun ini merupakan tahun lembu. Pada tahun 2009 iaitu sekitar 12 tahun lalu juga jatuh pada tahun lembu. Bagaimanapun tahun tersebut merupakan tahun lembu tanah.

“Tahun 2021 pula dikenali sebagai tahun lembu besi dan kali terakhir tahun lembu besi terjadi adalah pada tahun 1961,” jelasnya.

Menurut Joey Yap lagi, pengaruh simbol haiwan adalah berbeza terhadap setiap individu berdasarkan carta astrologi.

Justeru, keistimewaan 2021 tetap tertakluk kepada usaha dan keputusan yang dilakukan oleh individu itu sendiri.

“Dari segi metafizik Cina, kesemua 12 haiwan hanyalah wujud sebagai simbologi. Tetapi ramai yang salah faham tentang konsep tersebut dan percaya kononnya, jika anda dilahirkan pada tahun lembu anda akan bekerja keras seperti lembu.

“Ini sebenarnya merupakan kepercayaan karut masyarakat kerana faktor yang mendorong kepada perwatakan seseorang itu adalah berdasarkan keputusan mereka dan pengaruh persekitaran luar,” terangnya.

Selain percaya kepada kepercayaan karut, ada juga yang terlalu mempercayai pantang-larang yang ditetapkan. Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, ‘pantang-larang’ tersebut hanyalah sebahagian daripada pengaruh alam.

“Setiap hari, bulan dan tahun mempunyai pengaruh masing-masing. Kadangkala, individu mungkin melakukan sesuatu secara terburu-buru sehingga menyebabkan perkara yang tidak diingini.

“Disebabkan situasi itu, mereka mula percaya dengan kewujudan pantang-larang pada hari-hari tertentu dan seterusnya mengelakkan diri daripada melakukan apa-apa perkara,” katanya.

BONEKA-BONEKA lembu menjadi elemen hiasan penting Tahun Baru Cina ini.– AFP

Enggan individu terlalu bergantung kepada astrologi Cina, Joey berharap agar kedatangan tahun 2021 membolehkan lebih ramai individu memahami metafizik Cina yang sebenar.

Ini kerana, ramai yang berpendapat kaedah tersebut merupakan salah satu cara untuk menilik nasib.

“Astrologi Cina merupakan sesuatu alat yang boleh mendorong anda untuk berjaya.

“Ia tiada kena-mengena dengan tuah seseorang, tangkal yang perlu dipakai ataupun meramal masa hadapan seseorang.

“Sebenarnya, kehidupan yang ‘bertuah’ lahir daripada keputusan yang bijak. Jika anda sedar bagaimana minda, emosi dan rohani anda dipengaruhi peredaran waktu, anda boleh melakukan keputusan yang tepat.

“Metafizik Cina yang tulen tiada kaitan langsung dengan unsur tahyul, keagamaan atau magis. Saya berharap ramai lagi dapat mempelajari bidang ilmu ini dan menggunakannya untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI