SELAYANG – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua anak tiri perempuannya di sebuah rumah tujuh tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 53 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan terhadap kedua-dua anak perempuan tirinya yang ketika kejadian masing-masing berusia sembilan dan 14 tahun dengan niat mencabul kehormatan dengan meraba badan, mencium mulut dan menjilat kemaluan tanpa kerelaan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik di sebuah rumah Bandar Baru Selayang, Batu Caves di sini pukul 3 dan 10.30 pagi pada pertengahan tahun 2014 lalu.
Kedua-dua mangsa kini masing-masing berusia 16 dan 21 tahun.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun peguam M.Mariappan memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu memandangkan pendapatan anak guamnya kini terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Nur Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Tarikh 31 Mac ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.-K!ONLINE