fbpx

Aset baharu bantu UTK tangani jenayah di Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KUALA KANGSAR – Kemampuan dan kepantasan Unit Tindak Khas (UTK) dalam aspek menentang pengganas terutama di sekitar Lembah Klang kini dipertingkat menerusi aset terbaharu iaitu motosikal berkuasa tinggi BMW R1250 GS.

Komander UTK, Senior Asisten Komisioner, Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pengunaan aset itu membantu menggerakkan anggota dalam waktu singkat di samping penggunaan kenderaan sedia ada iaitu Rapid Intervention Vehicle (RIV) bagi operasi anti pengganas.

“Sebelum ini, kita menggunakan kereta tetapi di bandar dengan keadaan jalan yang sesak terutama pada waktu puncak, motosikal lebih sesuai.

“Seramai 12 anggota ditugaskan setiap hari dengan penugasan melibatkan kawasan Kuala Lumpur kerana kita berpusat di sini, tidak di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada program ‘Jeneral Turun Padang’ sempena Ops Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekatan jalan Raya Tol Kuala Kangsar di sini hari ini.

Pada November lalu, UTK menerima 24 motosikal BMW R1250 GS bagi tujuan penambahbaikan penugasan.

Sementara itu mengulas mengenai program Jeneral Turun Padang, beliau berkata, program itu bagi melihat aspek kebajikan pegawai dan anggota bertugas selain memberi semangat kepada mereka di lapangan.

“Tujuan lawatan ini juga adalah memberi motivasi kepada anggota kerana kita faham mereka ini telah bertugas agak lama sejak PKP dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, sebanyak 235 kompaun dikeluarkan Polis Daerah Kuala Kangsar sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 143 kompaun telah dibayar membabitkan kutipan sebanyak RM123,700.

“Kompaun itu kebanyakkannya dikeluarkan disebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atas kesalahan penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI