JOHOR BAHRU – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di hadapan sebuah rumah di Taman Johor, Skudai di sini pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, bayi berkenaan ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh orang awam yang kemudian melaporkan kepada pihak polis.
“Bayi yang berpakaian baju hijau putih bercorak kartun itu diletakkan di hadapan pagar rumah berkenaan dengan hanya beralaskan kain dan kertas.
“Pemeriksaan dibuat mendapati bayi lelaki berkenaan masih mempunyai klip putih di bahagian tali pusatnya dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Rupiah lagi, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini boleh menghubungi talian 07-5562222,” ujarnya.-K! ONLINE