BACHOK – Dua orang lelaki bertindak menyamar sebagai anggota polis sebelum mereka dipercayai menyamun seorang peniaga burger di Kampung Pauh Sembilan, Beris Kubor Besar di sini semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 33 tahun itu ditahan polis kira-kira 12 jam selepas mereka melakukan jenayah itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Suprintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan ketika mereka berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja di kawasan Tawang di sini.
Katanya, siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi ketika mangsa yang berusia 31 tahun berada di gerai burgernya.
“Bagaimanapun, dua lelaki itu yang menaiki kereta jenis Proton Waja tiba-tiba membuka cermin kereta sambil menjerit ‘Polis’ .
“Salah seorang suspek kemudian keluar dari keretanya dan merampas beg mangsa yang berada di dalam raga motosikal sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Yusrizal, selepas kejadian, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM2,000 termasuk wang tunai dan sebuah telefon pintar telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini kira-kira pukul 9 pagi semalam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bertindak segera dengan melancarkan gerakan mengesan dua suspek sebelum menemui kereta yang dinaiki mereka di Tawang di sini tengah hari dalam hari yang sama.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan sebilah parang dan pedang, wang tunai berjumlah RM742, satu beg pinggang, sebuah telefon pintar dan dua kunci kereta.
‘Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Berdasarkan semakan, kedua-dua suspek turut mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Mohd.Yusrizal berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan ugutan jenayah dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Merbahaya 1958.-K!ONLINE