MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesan 19 premis yang sengaja menaikkan harga keperluan komputer dan barangan komunikasi susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, kesemua premis tersebut bagaimanapun telah diberikan notis untuk mengemukakan dokumen berkaitan harga jualan barangan terbabit.
Katanya, kesemua premis itu berjaya dikesan hasil aduan daripada orang awam dan pemantau penguat kuasa di premis di ketiga-tiga daerah di negeri ini.
“Kita berjaya mengesan 15 buah premis di Melaka Tengah, selebihnya di Jasin dan Alor Gajah yang sengaja menaikkan harga peralatan komputer dan komunikasi selepas kerajaan melaksanakan pembelajaran secara PdPR.
“Kesemua pemilik peniagaaan itu telah diminta untuk mengemukan statistik harga semasa barangan dijual dan harga sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membuat perbandingan peningkatan kadar jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di pasaraya Tesco Bandaraya Melaka di sini, hari ini.
Ujarnya, pihaknya juga giat membuat pemantauan penjualan dalam talian bagi mengesan sekiranya berlaku penipuan membabitkan pembelian keperluan pembelajaran itu.
Jelasnya, pemeriksaan berkaitan kenaikan harga komputer dan barangan komunikasi itu dilakukan mengikut Ops Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik-Komunikasi).
Dalam perkembangan lain, Norena memberitahu sepanjang pelaksanaan PKP bermula pada13 Januari lalu sehingga semalam, pihaknya telah mengeluarkan tiga kompaun terhadap tiga premis pakaian yang berdegil membuka perniagaan.
“Kita telah mengeluarkan kompaun mengikut mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dengan kadar denda sebanyak RM1,000,” katanya.-K!ONLINE