PUTRJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sumbangan berjumlah RM2 juta melalui program Tabung Musa’adah Covid-19 kepada golongan mualaf di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, seramai 4,000 mualaf di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 daripada MAIWP dan RM100 barangan keperluan asas.
Katanya, bantuan kewangan itu akan diberikan secara ‘one-off’ manakala barangan keperluan disumbangkan JAWI Foodbank dan agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Kita memahami situasi pada masa ini cukup mencabar dan pihak kami bersetuju membantu golongan mualaf dan bantuan akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 12 mualaf terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, pesara dan kakitangan kerajaan menerima sumbangan wang tunai RM500 dan barangan keperluan bernilai RM100. -K! ONLINE