TEMPAHAN dibatalkan pada saat akhir, perjanjian ulasan berbayar ditunda dan pergerakan terbatas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah antara cabaran yang semakin mendewasakan Nur Asha Nathyrah Hasbie, 25.
Cabaran itu membuatkan gadis yang mempunyai 87,000 pengikut di Instagram tersebut langsung tidak mengalah dan berusaha keras untuk berjaya.
Berkat kesabaran, dia yang lebih dikenali sebagai Qiusha Hasbie semakin mendapat kepercayaan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk melakukan ulasan berbayar.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad dengan anak jati Wakaf Beruas, Kuala Terengganu itu.
Kosmo! Ahad: Bagaimana akaun Instagram Qiusha boleh dikenali dan diikuti ramai?
QUISHA HASBIE: Saya gemar memuat naik foto-foto menarik termasuk swafoto pakaian untuk hari ini (OOTD) di Instagram membuatkan ramai yang tertarik dan mula mengikut saya.
Bagaimana saudari mendapat keyakinan untuk berswafoto OOTD di Instagram?
Saya menerima pendedahan awal dalam dunia peragaan apabila menyertai pertandingan Ikon Hijabista di Kuala Terengganu pada 2012. Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk menjadi usahawan online dan pengulas produk berbayar sepenuh masa.
Mengapa memilih akaun Instagram untuk mengembangkan perniagaan?
Setiap kali saya memuat naik foto-foto OOTD, saya sering ditanya tentang busana dan alat komestik digunakan. Dari situlah saya mendapat idea untuk berkongsi tips penjagaan wajah dan menjual produk-produk tersebut.
Tidak kekok untuk berniaga?
Saya memang suka berniaga sejak kecil kerana mengikut jejak langkah keluarga.
Apakah produk yang dijual?
Saya menghasilkan produk bedak asas jenama sendiri selain pakaian wanita, alat komestik, minyak wangi dan makanan.
Apakah pengalaman berharga yang diperoleh?
Apabila perkhidmatan dan produk jualan kita mendapat kepercayaan pelanggan. Sambutan yang memberangsangkan dan tidak putus-putus meningkatkan motivasi saya untuk terus berniaga online dan melakukan ulasan berbayar. Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 telah membataskan aktiviti perniagaan sehingga beberapa tempahan ulasan berbayar terpaksa ditunda.
Apa pendekatan saudari untuk menambat hati pelanggan?
Saya melayani setiap pelanggan dengan sopan dan mesra.
Boleh kongsi pengalaman berniaga dalam situasi PKP?
Banyak pendekatan perniagaan terpaksa diubah. Kebanyakan sesi swafoto OOTD dan ulasan berbayar terpaksa dilakukan di dalam rumah sahaja.
Apa perancangan masa depan?
Saya mahu terus belajar menajamkan lagi kemahiran melakukan ulasan produk. Nasihat kepada yang ingin menjadi Instafamous Kita perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi dan jangan hirau kutukan orang.