PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengakui lega dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan bagi melangsungkan semula saingan STL Champions Cup yang ditunda ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pihaknya akan mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan STL diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Jelas Ahmad, pihaknya berusaha menyelesaikan saingan STL Champions Cup dalam tempoh lima hari dengan aksi akan bermula dari 2 hingga 6 Mac depan.
“Kami warga sepak takraw mengucapkan syukur kerana Kejohanan STL Champions Cup dapat dilangsungkan semula bagi menyelesaikan baki 13 perlawanan dan kami berusaha selesaikan dalam tempoh lima hari.
“Kejohanan pada kali ini juga akan dijalankan secara gelembung sukan (sport bubbles) dengan semua pegawai dan pemain akan tinggal di pusat kuarantin yang telah ditetapkan oleh PSM.
“Bagi memelihara SOP, PSM akan menyediakan pengangkutan dalaman untuk membawa pegawai dan pemain dari pusat kuarantin ke venue kejohanan dan balik semula ke pusat kuarantin,” katanya semalam.