fbpx

Diet biar dengan ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selain menjaga pemakanan, manusia juga perlu bersenam dan waktu tidur yang mencukupi.
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Trend memiliki badan langsing bukanlah satu perkara yang baharu, tidak kira bagi wanita mahupun lelaki.

Pelbagai sebab diberikan untuk menurunkan berat badan sama ada mahu berpenampilan menarik ataupun demi menjaga kesihatan.

Tidak dinafikan kesedaran ingin memiliki berat badan yang ideal itu adalah sesuatu perkara yang bagus. Namun, silapnya ada sesetengah individu yang sanggup melakukan diet melampau demi mencapai berat badan impian dengan pantas.

Baru-baru ini tular di laman Twitter mengenai seorang remaja perempuan menderita kerana mengamalkan diet hanya minum air kosong sahaja.

Tindakan drastik remaja itu yang dikatakan hanya meminum air kosong sebanyak sembilan li­ter sehari dipercayai menyebabkan dia menderita rosak organ dalaman.

Di bawah bebenang ciapan di Twitter itu, saya tertarik apabila membaca komen-komen netizen yang berkongsi pengalaman mereka sendiri atau kenalan yang melakukan diet ekstrim sehingga memudaratkan tubuh badan.

Melalui bebenang itu ternyata ada beberapa lagi jenis diet yang sering dipromosikan di internet, antaranya diet tidak mengambil kalsium dan diet makan telur.

Pegawai Dietetik Pemakanan, Farah Farhanah Hashim berkata, mengambil langkah mudah de­ngan mengamalkan diet melampau hanya akan memudaratkan kesihatan tubuh badan.

“Sebenarnya kalau diikutkan, penurunan berat badan dengan amalan diet melampau ini telah ada sejak dahulu lagi. Seperti diet minum air kosong, ia telah wujud sejak tahun 1930-an di mana ia dikenali sebagai ‘liquid diet’.

“Memang ia berkesan, tetapi untuk jangka masa pendek sahaja. Bertahan dalam tempoh tiga ke enam bulan dan selepas itu individu tersebut akan meng­alami komplikasi dalaman,” kata­nya.

Jelasnya, selepas tempoh tiga ke enam bulan mengamalkan diet melampau tersebut, tubuh badan manusia tidak boleh berfungsi dengan baik kerana ­nutrisi yang diperlukan tiada dalam badan.

Malah, individu-individu yang mengamalkan diet melampau ini juga akan kerap terganggu emo­sinya di mana mereka akan berasa penat yang melampau ataupun tertekan akibat kelaparan.

Mengulas lanjut mengenai matlamat menurunkan berat badan katanya, seseorang individu itu perlulah menetapkan matlamat diet yang selari antara ingin mengelak risiko mendapat penyakit dan pada masa sama ingin kekal cergas.

“Selain itu, perkara paling utama sekali ialah, kenal pasti diet yang betul. Perlu diingatkan, diet yang hanya fokus kepada satu benda sahaja atau memerlukan anda untuk meninggalkan satu daripada kumpulan makanan, itu bukan diet yang betul.

“Diet yang menjanjikan pengurangan berat badan yang banyak dalam masa satu minggu, antara yang paling ramai terpengaruh, juga adalah diet yang tidak betul. Ia termasuk diet yang menawarkan suplimen atau ubat-ubatan tertentu untuk mempercepatkan proses menurunkan berat badan,” katanya.

Tambahnya, perlu diingatkan ju­ga, selain menjaga pemakanan, manusia juga perlu bersenam dan waktu tidur yang mencukupi.

Justeru itu, sebelum mula mengamalkan sebarang diet, amat penting untuk seseorang individu itu mencari ilmu dari sumber yang betul ataupun pihak yang bertauliah.

“Sudah ada ilmu asas, baru mulakan dengan perancangan seterusnya. Lakukan satu persatu, kemudian kekal fokus dengan perancangan yang dibuat.

“Pastikan anda menetapkan fikiran yang positif dan tidak terburu-buru ingin mengubah semua benda pada masa yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI