LONDON – Seorang lelaki mengalami alergi teruk di pergelangan tangan disebabkan tali jam Apple iWatch miliknya, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Mat Smith, 29, membeli jam tangan pintar berharga £379 (RM2,117) daripada rakannya sebagai hadiah Krismas tetapi kulitnya mula mengalami kegatalan beberapa hari selepas memakainya.
Menurut Smith, tali jam tangan yang diperbuat daripada silikon itu membuatkan pergelangan tangannya terasa seperti dibakar dan dikhuatiri meninggalkan parut kekal di kulit.
Dia cuba membasuh tali Apple iWatch Series 6 dengan harapan dapat membersihkan kekotoran yang ada, namun tidak mendatangkan sebarang perubahan.
“Saya mengesan berlakunya iritasi di bahagian tali jam tangan itu jadi saya membasuhnya supaya kotoran itu hilang.
“Namun begitu, keadaan kulit saya tetap berasa pedih setiap kali memakai jam itu,” katanya.
Selepas membuat aduan kepada syarikat pengeluar jam iaitu Apple, Smith dimaklumkan menerusi bahagian sokongan laman web itu bahawa sesetengah individu akan mengalami iritasi apabila memakai jam tersebut ekoran penggunaan material tertentu.– Agensi