MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan mengubah posisi dan peranan yang dimainkan oleh pemain tengahnya, Scott McTominay pada aksi berikutnya.
Ia berikutan kejayaan pasukan itu melangkah ke saingan suku akhir Piala FA selepas menundukkan West Ham United 1-0 dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan.
Pada aksi tersebut, McTominay yang masuk sebagai pemain gantian berjaya meledak gol kemenangan kira-kira tujuh minit selepas masa tambahan bermula apabila menyudahkan hantaran Marcus Rashford.
Gol tersebut menyaksikan McTominay sudah mengumpul tujuh gol musim ini dalam semua kejohanan selain ia merupakan gol ketiga berturut-turut dihasilkannya.
“Dia sangat klinikal di hadapan gol. Kami boleh menggunakannya sebagai pemain di bahagian serangan kerana dia sentiasa menyudahkan peluang yang dimiliki.
“Jika ada peluang, dia akan cuba menyempurnakannya, kami perlu belajar daripada apa yang dilakukan oleh McTominay,” katanya.
McTominay adalah merupakan produk akademi kelab itu dan bermain di posisi penyerang pada peringkat awal dan Solskjaer mendedahkan bahawa pemain itu mungkin akan diberikan peranan pada bahagian serangan selepas ini.
“Ia adalah sikap yang baik untuk seorang pemain tengah bertahan. Kami mungkin perlu membenarkannya untuk bermain di bahagian atas kerana ketajamannya dalam kotak penalti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Solskjaer turut memuji aksi yang dipamerkan Donny Van De Beek yang berjaya memberikan aksi terbaik biarpun terpaksa dikeluarkan kemudiannya. – AGENSI