fbpx

20,089 pesakit Covid-19 jalani pengasingan di rumah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Seramai 20,089 pesakit positif Covid-19 pada masa ini sedang menjalani pengasingan di rumah serta dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang mengendalikan penilaian terhadap mereka.

Berdasarkan pecahan, bilangan pesakit menjalani pengasingan di rumah yang tertinggi ialah Johor seramai 6,016 pesakit diikuti oleh Selangor dengan 5,258 pesakit serta Kuala Lumpur dan Putrajaya membabitkan 4,489 pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pusat penilaian tersebut ditubuhkan bagi mengendalikan penilaian pesakit positif yang menjalani rawatan pemantauan di rumah dan perkhidmatannya dimulakan sejak 25 Januari secara berperingkat di semua negeri.

“Sehingga kini, terdapat 152 pusat CAC yang sedang beroperasi di seluruh negara dan secara kumulatif, sejumlah 60,052 pesakit telah dipantau oleh CAC.

“Secara umumnya, CAC bertindak sebagai pusat rujukan bagi mengenal pasti, menilai, memantau serta menguruskan pesakit yang telah disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ujarnya, penilaian dan pemantauan kepada semua pesakit dijalankan oleh pasukan diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga serta dibantu oleh anggota-anggota sokongan klinikal yang lain.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, bagi melancarkan perkhidmatan, CAC beroperasi sama ada di stadium, dewan komuniti, balai raya atau mana-mana fasiliti kerajaan bergantung kepada kesesuaian dan keperluan setempat.

“Secara umumnya, CAC beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja. Bagaimanapun, terdapat juga CAC yang beroperasi pada hari minggu.

“Butiran lanjut waktu operasi CAC dipaparkan pada Portal Rasmi Covid-19 Malaysia Kementerian Kesihatan (KKM) (covid-19.moh.gov.my/hotline) dan media sosial (Facebook) Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pesakit yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memenuhi kriteria ditetapkan oleh KKM akan menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari.

“Pengurusan pesakit ini tertakluk di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kes Jangkitan Penyakit Korona Virus 2019 (Covid-19), Akta Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kesemua pesakit ini akan dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh pengasingan mereka di rumah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemantauan kendiri perlu dilaksanakan oleh pesakit sepanjang tempoh pengasingan iaitu melalui Home Assesment Tool yang dibekalkan oleh CAC.

“Pesakit-pesakit tersebut juga perlu melaporkan status kesihatan setiap hari melalui aplikasi MySejahtera atau apabila dihubungi oleh anggota kesihatan.

“Sekiranya pesakit-pesakit mengalami kemerosotan gejala, mereka dinasihatkan menghubungi CAC dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan,” katanya.

Katanya, maklumat lanjut berkenaan pemantauan kendiri di rumah boleh dirujuk di laman sesawang Portal Covid-19 Malaysia KKM. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI