PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil menghormati dan akur dengan keputusan Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang dianugerahkan kepadanya pada 2017.
Farid atau nama lengkapnya, Farid Kamil Zahari, 39, berkata, dia berbangga kerana pernah berpeluang membawa gelaran Datuk selama empat tahun.
“Saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan dari pihak Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada saya.
“Sejak 16 Disember 2017 saya amat berbangga dan berbesar hati membawa gelaran Datuk yang dikurniakan Istana Pahang.
“Saya menjunjung kasih di atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya ini dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri pada ketika itu,” katanya melalui satu hantaran dalam Instagram.
Dalam pada itu, suami kepada pelakon Diana Danielle itu berkongsi perkembangan terkini dirinya yang dalam usaha memasarkan filem Remp-it 2 dijangka menemui penonton tahun ini.
Terdahulu, Farid antara lima individu termasuk seorang lagi pelakon itu Boy Iman perlu mengembalikan Darjah Kebesaran mereka sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah – Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang.
Farid menerima darjah kebesaran berkenaan pada 16 Disember 2017. Turut menerima darjah kebesaran pada hari sama ialah artis kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz. Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman juga menerima gelaran pada tahun yang sama.
Sebulan selepas membawa gelaran Datuk, nama dan reputasi Farid tercalar akibat insiden menampar dan menendang anggota polis serta orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Januari 2018 sehingga mengheret namanya ke muka pengadilan. – K! ONLINE