JAKARTA – Seorang lelaki mahu menjual meteorit seberat 1.7 kilogram yang ditemuinya dengan harapan dapat menampung kos menunaikan haji, lapor portal Suara.com.
Sukirno yang berasal dari Dusun 8, Kampung Astomulyo, Kecamatan Punggur, Kabupaten Lampung Tengah menemui meteorit berkenaan di kawasan sawah bulan lalu.
“Ya, saya memang berhasrat untuk menjualnya. Memang saya perlukan wang itu, harapnya cukup untuk saya dan isteri mengerjakan haji,” katanya semalam.
Katanya, dia tidak tahu apa yang boleh dibuat dengan meteorit berkenaan.
“Saya cuma petani biasa, tidak tahu apa yang boleh dibuat dengan batu itu. Buat apa saya simpan,” tambahnya.
Sehingga hari ini, Sukirno belum menetapkan harga meteorit berkenaan kerana tidak tahu nilainya.
“Sebab itu saya masih belum menjualnya. Kalau ada yang menawar harga, saya akan pertimbangkan dulu,” katanya.
Penduduk Kampung Astomulyo gempar pada 28 Januari lalu apabila meteorit tersebut ditemui.
Sebanyak dua biji meteorit ditemui iaitu yang seberat 2.2 kilogram dan 1.7kg. – Agensi