fbpx

Jualan merosot selepas seorang peniaga dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana lengang di Pasar Besar Gua Musang di Bandar Baru, Gua Musang.

GUA MUSANG – Kira-kira 100 peniaga di Pasar Besar Gua Musang di sini mendakwa jualan merosot selepas salah seorang daripada mereka dijangkiti Covid-19 pada bulan lalu.

Selepas terdapat kes positif, pasar itu ditutup selama dia minggu dan dibuka semula pada 21 Januari lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat peniaga khususnya peniaga bahan makanan kering, barangan basah dan kuih-muih meneruskan perniagaan seperti biasa meskipun kedatangan pengunjung berkurangan.

Seorang peniaga kuih, Zarina Abdul Rahman, 38, berkata, pengurangan pengunjung secara mendadak ke pasar itu menyebabkan ribuan biji kuih dijualnya terpaksa dibuang setiap hari.

“Pendapatan sekarang ini agak berkurangan berbanding dulu. Jika dahulu, saya dapat RM150 sehari dan ketika ini hanya dapat sekitar RM50 hingga RM70.

“Setiap hari, peniaga pasti berdepan dengan lambakan kuih-muih yang tidak laku dijual,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Besar Gua Musang di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga santan, Norhasniza Noh, 26, berkata, sejak kebelakangan ini harga barangan basah yang sedikit meningkat naik berkemungkinan menjadi penyebab masyarakat tempatan ingin berjimat cermat dengan mencari tempat terbaik untuk berbelanja.

Katanya, selain itu, pelanggan juga mungkin masih takut apabila terdapat satu kes Covid-19 berlaku di pasar ini.

“Memandangkan situasi ekonomi semasa ketika ini, semua peniaga terjejas pendapatan lebih 50 peratus berbanding sebelum penularan wabak Covid-19.

“Peniaga hanya bergantung kepada kehadiran pelanggan tetap, namun tiada pelanggan baharu. Sebagai peniaga kecil, saya pun tidak tahu bila keadaan ini akan pulih,” katanya.

Tambahnya, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, waktu operasi pasar juga singkat apabila bermula pukul 7 pagi sehingga 2 petang setiap hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI