fbpx

Presiden NGO mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik di Twitter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramesh Rao dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di Twitter tahun lalu.

TAIPING – Seorang presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi bersifat jelik di Twitter pertengahan tahun lalu.

Tertuduh, K. N. Ramesh Rao, 40, yang merupakan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hasan.

Mengikut pertuduhan, Ramesh Rao didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui https://twitter.com/RameshRaoAKS/status/1287974441347997697 di laman Twitter miliknya, RameshRaoAKS pada 12.58 tengah hari 28 Julai 2020.

Tulisan tertuduh dibaca seorang individu di Taman Desa Trong Utama di sini pada pukul 8 malam hari sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

Sariza menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun peguamnya merayu agar dikenakan jaminan yang ringan memandangkan tertuduh memberikan kerjasama dengan baik dan menghormati institusi kehakiman.

Zulhelmy kemudian membenarkan Ramesh Rao diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, Ramesh Rao menerusi ciapan di Twitter mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dengan tujuh tuduhan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI