PASUKAN Sabah FC terus mengorak langkah dalam melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas melantik bekas pemain antarabangsa Australia, Scott Ollerenshaw menjadi Pengarah Teknikal baharu pasukan musim ini.
Sebagai rekod, Ollerenshaw dianggap sebagai salah seorang penyerang import terbaik yang pernah bersaing dalam kancah Liga M pada era 90-an kerana mempamerkan penyudah yang sangat berbisa ketika mewakili pasukan Sabah.
Pengesahan itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) semalam kerana percaya Ollerenshaw merupakan individu tepat untuk meningkatkan mutu dan kualiti bola sepak negeri itu.
“Pelantikan Ollerenshaw sebagai Pengarah Teknikal buat Sabah FC antara inisiatif yang dilaksanakan untuk menzahirkan kesungguhan pasukan dalam meningkatkan mutu dan kualiti bola sepak di Sabah.
“Peranan sebagai Pengarah Teknikal ini secara langsung menjadikan Ollerenshaw sebagai ketua dalam program pembangunan belia untuk misi mencungkil bakat baru dan membentuk barisan pelapis Sabah FC untuk masa akan datang.
“Dalam masa sama, dia juga akan menjadi medium pengantara buat para pemain import selain turut bertindak sebagai pencari pemain berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan,” kata SAFA dalam satu kenyataan semalam.
Pasukan Sabah sebelum ini mengesahkan keputusan untuk mengekalkan khidmat ketua jurulatih import dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto pada saingan Liga M musim ini.
Skuad Tambadau itu turut mengenal pasti beberapa pemain untuk mengisi kuota import seperti Saddil Ramdani dari Indonesia, Jorge Pereyra Diaz (Argentina) dan Sam Johnson (Liberia).