LONDON – Pengendali Chelsea, Frank Lampard mengakui pasukannya akan turun menentang Wolverhampton Wanderers (Wolves) malam ini pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dengan harapan untuk meraih mata penuh.
The Blues kini berada di kedudukan keempat dan memerlukan satu sahaja mata untuk mengesahkan slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, tugas mereka tidak mudah apabila berdepan Wolves yang terkenal sebagai pasukan yang cukup liat dan kini berada di kedudukan keenam liga yang juga turun dengan misi untuk mara ke saingan Liga Europa.
“Kami akan turun beraksi seperti yang kami selalu lakukan sebelum ini. Kami cuba untuk mencari kemenangan.
“Tidak ada cara lain dalam bola sepak kecuali turun dan memenangi perlawanan. Kami akan berhati-hati dan membaca strategi Wolves supaya tidak terperangkap,” katanya.
Wolves berjaya menamatkan musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris pada kedudukan ketujuh musim lalu dan mereka kini sudah pasti mahu memperbaiki prestasi itu menjadi lebih baik.
Bagaimanapun, Lampard mengakui sangat menghormati rakan sejawatnya di Wolves, Nuno Espiranto Santo yang disifatkan sebagai pengurus yang cukup berwibawa dan penuh muslihat.
“Wolves akan memberikan kami kesukaran. Mereka adalah lawan yang cukup hebat, lihat sahaja apa yang telah mereka lakukan sepanjang musim ini.
“Nuno telah melakukan tugasnya dengan baik dan mempunyai banyak idea dalam usaha memerangkap pasukan lawan,” jelasnya. – AGENSI