PUTRAJAYA – Pembukaan lebih banyak industri dan kelonggaran operasi perniagaan yang diberi kerajaan buat masa ini perlu disusuli dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika setiap individu mengamalkan SOP yang tinggi, kerajaan boleh membenarkan pembukaan semula semua industri tanpa perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hari ini, kita lihat sudah ada kebenaran dan kelonggaran bagi makan di kedai makan dan restoran selain kebenaran bagi kedai gunting rambut beroperasi semula.
“Jika kita lihat tahun lalu ketika PKP 1.0, kita buka kedai gunting rambut tapi bila kita patuh SOP, tiada kluster membabitkan perniagaan itu dikesan malah, tiada kes dijangkiti.
“Justeru, kepatuhan kepada SOP itu yang penting sekali.
“Sebagai contoh, jika kita ingin makan di kedai makan, kita perlu elak makan di tempat yang sempit, sesak dan terbuka bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Katanya, beliau mahu setiap orang mengamalkan kepatuhan dan disiplin yang tinggi bagi memastikan penularan wabak ini dapat diputuskan.
Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi secara dine in atau makan di kedai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan kebenaran dua orang bagi satu meja bermula esok.
Noor Hisham berkata, negara sudah mempunyai pengalaman berdepan dengam wabak ini pada PKP 1.0 dahulu dimana kawalan ketat SOP telah dilaksanakan.
Namun, katanya, pendekatan kerajaan ketika ini adalah berbeza dan pelaksanaan kawalan dilakukan secara bersasar.
“Kita sudah setahun belajar dengan virus ini. Virus ini akan mati kalau tidak jumpa hos atau orang baharu. Jadi, kita sebenarnya boleh memutuskan jangkitan Covid-19 kalau kita patuh kepada SOP,” katanya. -K! ONLINE.