TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas sebanyak 21 ekor lembu yang dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM58,000 di sebuah kandang di Kampung Bendang Pak Yong di sini hari ini.
Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, PGA turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan selepas dia mengaku kandang lembu itu miliknya.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota PGA melihat beberapa orang lelaki sedang mengheret lembu masuk ke sebuah kandang ketika melakukan rondaan di sekitar Kampung Bendang Pak Yong.
Menurutnya, apabila menyedari kehadiran anggota PGA, mereka terus melarikan diri dan meninggalkan haiwan berkenaan di kawasan kandang.
“Hasil pemeriksaan lanjut, 21 ekor lembu berada di dalam kandang dan masih berada dalam keadaan basah.
“Semua lembu itu juga tidak mempunyai tag di telinga dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari negara jiran menggunakan pangkalan haram berhampiran Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -K! ONLINE