KUALA SELANGOR – Kesengsaraan sepasang suami isteri warga emas terpaksa ‘berkongsi’ rumah usang dengan monyet liar sejak 18 tahun lalu di Kampung Bagan Tengkorak, Tanjong Karang di sini berakhir apabila menerima kediaman baharu daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), hari ini.
Mohamad Yusof Sedik, 68, dan Hamidah Ahmed, 61, sebelum ini terpaksa menetap di rumah pusaka keluarga yang daif dengan kayunya telah reput selain bumbung bocor serta kerap dimasuki monyet.
Hamidah yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) berkata, kehidupan sebelum ini resah apabila monyet liar sering memasuki ke dalam rumah selain membuang najis.
“Keadaan itu meresahkan kami namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang hidup ‘berkongsi’ itu.
“Situasi itu dikeruhkan lagi apabila hujan berikutan bumbung yang bocor selain dinding kayu rumah yang kebanyakannya reput,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Program Rumah Baru Asnaf PUNB itu.
Penyerahan rumah itu disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar.
Kata Hamidah yang kudung kaki kanan dan buta mata kiri akibat penyakit kencing manis itu, kediaman baharu adalah hadiah paling bermakna dan amat menghargai sumbangan tersebut untuk meneruskan hidup. -K! ONLINE