GEORGE TOWN – Bermula hari ini, Pulau Pinang membenarkan kehadiran jemaah solat fardu dan solat Jumaat di masjid mengikut kapasiti maksimum masjid berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jemaah perlu mematuhi peraturan iaitu berusia lingkungan 12 hingga 70 tahun, mengambil bacaan suhu badan dan mendaftar aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran sebelum memasuki masjid.
“Semua jemaah perlu memakai pelitup muka, menggunakan sejadah bersaiz besar dan tidak dibenarkan bersalaman serta mengambil wudhuk di rumah.
“Selain solat fardu, solat Jumaat juga dibenarkan mengikut kapasiti masjid atau surau dengan minimum 40 orang jemaah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) terkini itu turut memberi kebenaran kepada warganegara atau pemaustatin tetap untuk menunaikan solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini.
“Ruang solat untuk musafir atau pekerja e-hailing turut disediakan bagi membolehkan mereka menunaikan solat fardhu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, laungan azan kini kembali dilafazkan kepada lafaz biasa yang mana sebelum ini laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).
Tambah Ahmad Zakiyuddin, majlis ilmu seperti kuliah Maghrib, bacaan surah Yassin dan tahlil dibenarkan bagaimanapun ia hanya boleh dilakukan selepas solat Maghrib hingga Isyak. – K! ONLINE