fbpx

Kartel daging: Syarikat, dua pengarah mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chong Kim Kuang (baju putih) dan Yong Chee Keong (baju merah) yang terbabit kes kartel daging sejuk beku import didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat bersama dua pengarah dan pengurus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu untuk membekalkan daging sejuk beku, awal Disember tahun lalu.

Tertuduh, iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., pengarahnya, Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah.

Pengakuan itu direkodkan selepas pertuduhan dibacakan berasingan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan dua tertuduh serta seorang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal tanpa kelulusan dua badan pensijilan halal Australia.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohammad Onn Abd. Aziz, Kwan Li Sa, Syazwani Zawawi, T. Ashivinii dan Kee Shu Min.

Manakala tertuduh diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Yusman Che Aman dan Saiful Zaman Abd. Rahman.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Mahkamah turut menetapkan 28 Mac depan sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI