PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan pihaknya tidak pernah menawarkan skim pensijilan halal bagi produk kewangan.
Jakim melalui Bahagian Pengurusan Halalnya berkata, sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat berkaitan juga adalah palsu dan bukan daripada jabatan itu.
“Pihak kami menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai status Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terhadap produk kewangan.
“Untuk makluman, Jakim tidak pernah menawarkan skim pensijilan halal bagi produk kewangan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Justeru, Jakim berkata, pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung sebuah syarikat berkaitan kewangan yang mendakwa mendapat SPHM daripada Jakim.
Syarikat yang terbabit dalam skim pelaburan itu didapati berkongsi sijil pengesahan halal yang kononnya diberikan oleh Jakim. -K! ONLINE