fbpx

Tiada lagi badi Anfield

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GUNDOGAN (kiri) meledak dua gol ketika City menewaskan Liverpool di Anfield sekali gus menamatkan kemarau kemenangan mereka di stadium itu sejak 18 tahun lalu. – AFP

LIVERPOOL – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola cukup puas apabila dapat menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dengan kemenangan 4-1 di laman keramat pasukan lawan, Stadium Anfield awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad The Citizens tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan bergaya hasil dua ­jaringan Ilkay Gundogan, Raheem Sterling dan Phil Foden manakala Mohamed Salah menjaringkan gol saguhati buat pasukan tuan rumah.

Guardiola berkata, aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain berada dalam kelas tersendiri untuk menamatkan badi tanpa sebarang kemenangan di Anfield sejak musim 2003, sekali gus meneruskan momentum dengan 14 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

“Akhirnya kami berjaya menang di Anfield dan saya akui cukup berbangga dengan apa yang barisan pemain pamerkan pada perlawanan ini. Mungkin ada yang mempersoalkan kemenangan pasukan kerana kami beraksi tanpa penyokong setia Liverpool.

“Namun, saya harap kami dapat mencapai keputusan yang sama apabila penonton kembali dibenarkan masuk ke Anfield kerana harus diakui aura stadium ini agak hambar tanpa mereka.

“Mengenai aksi barisan pemain, saya sangat puas kerana mereka mempamerkan aksi yang cukup sempurna terutama Sterling, Gundogan dan Foden,” katanya.

Sementara itu, Gundogan mahu barisan pemain tidak mendabik dada dengan situasi semasa pasukannya meskipun mereka memiliki peluang terbaik untuk merampas kembali kejua­raan liga daripada Liverpool.

“Saingan liga masih belum berakhir dan saya mahu semua pemain fokus kerana apa sahaja boleh berlaku pada musim ini. Namun, tidak dinafikan bahawa semangat dan keyakinan pasukan untuk merampas kejuaraan liga musim ini cukup membara,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI