MELBOURNE – Bintang tenis Rusia, Daria Kasatkina bermula dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan pada perlawanan pembukaan Grand Slam Terbuka Australia apabila mudah menewaskan pemain Britain, Katie Boulter.
Pemain berusia 23 tahun itu mempamerkan aksi cukup bertenaga apabila menewaskan Boulter dengan keputusan straight-set 6-1, 6-4 dalam
tempoh satu jam 11 minit di gelanggang Melbourne Park semalam.
Kasatkina mengakui gembira dengan kemenangan itu selepas dua edisi sebelum ini dia terkandas di pusingan pertama berturut-turut di Terbuka Australia.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan saya telah melakukan persiapan yang cukup baik sebelum tiba di sini. Rekod terbaik saya di Australia adalah berjaya melangkah ke pusingan ketiga.
“Saya harap mampu mengulangi aksi terbaik ini sekali lagi pada perlawanan kedua nanti. Saya akui saingan kali ini bukan mudah kerana rata-rata pemain mahu melakukan kejutan pada aksi pembukaan,” kata Kasatkina.
Sementara itu, pemain Itali, Camila Giorgi tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas berjaya menumbangkan pemain Kazakhstan, Yaroslava Shvedova dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-3.
Bagaimanapun, Giorgi dilihat akan berdepan tugas berat pada pusingan kedua selepas dijadualkan akan berdepan juara Grand Slam Terbuka Perancis 2020, Iga Swiatek.
“Permulaan terbaik bagi saya, namun saya tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan ini kerana saya akan berdepan tugas berat apabila akan berdepan juara Grand Slam iaitu Swiatek. Saya perlu berhati-hati dan mengurangkan kesilapan,” katanya. – AGENSI