fbpx

‘Itu Ruhila, Elvina tidak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELVINA MOHAMAD

SETIAP pelakon di Malaysia mahupun di mana sahaja, pasti mengimpikan ruang mempersembahkan bakat dalam sebuah karya hebat tidak kiralah di pentas teater, filem atau drama.

Impian itulah yang tertanggung dalam jiwa Datin Elvina Mohamad sehingga ke hari ini.

Kini, hasrat tersebut seperti mendekat selepas namanya kembali menjadi bualan ramai impak drama hangat Takdir Yang Tertulis (TYT) arahah pengarah berbakat, Shahrulezad Mohameddin.

Naskhah yang kini hangat ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 tersebut berjaya mencuri hati peminat drama tanah air sehingga sohor kini dalam media sosial, khususnya Twitter sejak hari pertama tayangan.

Bagi Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, dipilih untuk memegang watak Ruhila merupakan peluang keemasan yang enggan dilepaskan.

Jika diteliti sejak dua minggu lalu, namanya mula meniti di bibir peminat sekali gus menunjukkan watak Ruhila memberi impak terhadap perjalanan karier seninya.

MENGAKUI diri agak selektif dalam soal pemilihan naskhah dan watak, Elvina harus berbuat demikian agar keutamaan terhadap keluarga tidak terusik.

Impak Ruhila

Membawa watak perempuan perampas berwajah ayu, Elvina mengakui tidak mudah untuk membuatkan dirinya terbuai dengan emosi Ruhila sepanjang berada di set pengambaran.

“Menjadi Ruhila dalam TYT bukan perkara mudah untuk saya jayakan kerana 98 peratus daripadanya perlu bermain dengan emosi, memang susah.

“Memang berat dan mencabar untuk saya bawa emosi tersebut sebab memerlukan tenaga yang cukup banyak. Marah, bergaduh, menangis dan menjerit, itu yang saya perlu lontarkan dari wajah serta badan ini untuk 15 episod,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bukan hanya dia, Elvina memberitahu hampir setiap pelakon dalam drama tersebut seperti Nad Zainal, Nazim Othman dan Alvin Chong turut merasai perkara sama.

“Sehingga hari ini, sambutan yang diberikan penonton sangat hebat dan kami tidak menjangka TYT sohor kini dalam Twitter selama dua minggu berturut-turut.

“Memang bersyukur sebab terpilih bekerjasama dengan Radius One Sdn. Bhd. Biarpun saya antara pilihan terakhir pengarah tetapi alhamdulillah hasilnya memuaskan hati ramai pihak,” ujar wanita berusia 26 tahun itu.

Berbicara lanjut, pelakon yang pernah popular menerusi drama Seadanya Aku itu turut mengakui TYT antara naskhah lakonannya sebagai aktres antagonis yang mendapat tempat di hati peminat drama tanah air.

Tidak mendabik dada, Elvina percaya semua kemasyhuran dan pujian yang dikecapi dalam tempoh tiga minggu ini merupakan rezeki dari Tuhan.

“Sejak bergelumang dalam industri sekitar 2014, TYT antara drama lakonan saya yang berjaya mencuri perhatian ramai. Terima kasih atas semua pujian yang diberikan penonton.

“Saya jarang berlakon tetapi apabila diminta beraksi, saya akan beri 100 peratus komitmen sehinggalah saya dituduh pelacur pula oleh netizen gara-gara watak Ruhila,” tuturnya.

SELEPAS Takdir Yang Tertulis, Elvina bakal muncul dengan sebuah lagi drama berjudul Takdir Cinta Jebat menerusi TV1 tidak lama lagi.

Pelacur

Bukan setakat dibenci dan disumpah-seranah akibat menjayakan watak Ruhila, Elvina bahkan digelar sebagai pelacur, itu satu tuduhan keterlaluan.

“Bagi saya, komen-komen negatif sebegitu tidak seharusnya berlaku kerana semua hanyalah drama. Mereka sepatutnya bijak membezakan antara lakonan dan realiti,” ujarnya.

Bagaimanapun Elvina tidaklah merancang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap segelintir netizen yang menulis komen melampau.

“Saya biarkan saja semua komen itu tetapi jika sudah melampau atau terlalu negatif, saya terus sekat akaun mereka sebab tiada masa hendak layan jenis toxic people,” katanya lagi.

Ditebak soalan cepumas sama ada dia sanggup hidup bermadu seperti watak Ruhila, Elvina berdoa agar dijauhkan daripada perkara tersebut.

“Seramnya soalan ini! Minta simpang dan dijauhkan daripada benda ini daripada jadi realiti.

“Wanita mana yang nak hidup bermadu. Itu Ruhila, ya tetapi Elvina tidak!,” jawabnya lantas tertawa kecil.

ELVINA berbesar hati watak Ruhila beri impak kepada penonton.

Memilih naskhah

Jika diamati semula perjalanan seni pelakon kelahiran Teluk Intan, Perak itu, benar wajahnya jarang menghiasi slot-slot drama televisyen.

Tidak menolak dakwaan dirinya seorang yang memilih, Elvina perlu berbuat demikian demi keseimbangan status sebagai isteri dan ibu.

“Betul, saya memang memilih naskhah. Bukan cerewet tetapi benda itu penting sebab tak mahu ambil semua watak, akhirnya tidak mampu lakukan.

“Selain itu, saya juga nak seimbangkan kehidupan harian antara pelakon, isteri dan ibu,” tutur ibu kepada Karl Mateen Mohd Haniff yang kini berusia tiga tahun.

Tambah Elvina, suaminya, Datuk Mohd. Haniff Borhan tidak pernah menghalangnya terus aktif berlakon.

SEJAK bergelar isteri, Elvina mengakui wajahnya kurang menghiasi drama atau program televisyen.

“Suami sangat memahami dan tidak pernah menghalang tetapi saya perlu bijak bahagikan masa. Keluarga sentiasa menjadi keutamaan dan seterusnya barulah karier.

“Biasanya saya akan berehat sekejap untuk fokus kepada keluarga selepas berakhir sebuah drama. Itulah cara saya bahagikan masa,” katanya yang bakal muncul dengan drama Takdir Cinta Jebat menerusi TV1 tidak lama lagi.

Mengakhiri perbualan, pelakon cantik itu juga berharap, pandemik Covid-19 segera reda bagi memberi peluang kepada penggiat seni tanah air kembali bernafas.

“Kasihan dengan semua kru belakang tabir sebab banyak projek tertangguh dan dibatalkan. Gaji mereka bergantung kepada penggambaran.

“Kalau penggambaran tidak dibenarkan, bagaimana mereka nak dapat gaji. Harap pihak berwajib dapat pertimbangkan kebenaran aktiviti industri kreatif. Semoga ada hikmah di sebalik semua ujian ini,” ujarnya seraya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI