KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan tiada kenaikan harga barang yang ketara bagi barang kawalan seperti cili, bawang dan sayur-sayuran lain setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga kini pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan kenaikan harga barang dibuat menjelang sambutan Tahun Baru Cina.
“Sepanjang lawatan pada hari ini diperhatikan bahawa kesemua barang kawalan dijual tidak melebihi harga kawalan. Malah, kita dapati ada beberapa barang kawalan dijual di bawah harga maksimum.
“Konsep ini sesuai dengan hasrat kerajaan yang hanya menetapkan harga maksimum,” katanya dalam sidang akhbar ketika tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di Pasar Borong NSK Kuchai Lama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai harga bawang beliau berkata, harga bawang kini adalah stabil dan bekalan juga dijangka mencukupi.
“Minggu lepas pihak kami ada berjumpa dengan pemborong bawang terbesar dari India dan mereka memberi jaminan bahawa bekalan bawang mencukupi malah ada kapal yang belum sempat membawa masuk bekalan bawang ke negara ini.
“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan termasuk sayur-sayuran lain seperti cili, ubi dan sebagainya adalah mencukupi menjelang sambutan Tahun Baru Cina,” jelasnya.- K! ONLINE