PETALING JAYA – Ibu kepada penyanyi Aiman Tino, Hazelina Mat Jalil menerusi Instagramnya terkilan dengan sikap anaknya yang dikatakan mula berubah selepas mengenali seorang wanita bernama Fara Hanis.
Perkara tersebut didedahkan Hazelina menerusi satu hantaran Instagram yang memberi bayangan kehidupan pelantun lagu Dendam Simpati itu dikongkong oleh wanita itu.
Tambah Hazelina, anaknya gagal dihubungi sehingga mengganggu semua urusan berkaitan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Kalau dah tak mahu jadi artis, sila buat pengumuman dan jangan susahkan kami.
“Macam itulah kalau dah dikongkong. Panggilan tak angkat, wartawan dan stesen televisyen turut mencari. Harap maklum pada yang berkenaan,” katanya dalam entri tersebut.
Lebih mengejutkan, hantaran yang dipercayai ditujukan kepada Aiman turut mendapat tanda suka (like) daripada akaun rasmi milik @officialaimantion selepas beberapa minit dikongsi Hazelina.
Pemantauan Kosmo! menerusi InstaStory Hazelina turut memuat naik turut menulis status amaran kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Fara itu.
“Fara Hanis (Fewa), aku tidak teragak-agak cari mak bapa kau, perempuan XXX!.
“Instagram Aiman, bukan dia yang jaga. Kau yang buka semua, rahsia kau dah pecah,” tulisnya.
Bagaimanapun, usaha Kosmo! mendapatkan komen dan pengesahan daripada pihak Aiman dan keluarganya gagal.
Dalam pada itu, pengurusnya, Mahathir ketika dihubungi memberitahu, pihak label tidak mengetahui apa-apa tentang masalah yang berlaku antara Aiman dan ibunya.
“Kami memang tidak tahu masalah antara mereka. Tapi Aiman pernah memberitahu dia ada pulang ke rumah keluarganya di Kuala Kubu Bharu bulan lepas,” katanya.
Terdahulu pada 5 Januari lalu, Hazelina pernah memuat naik sekeping foto Aiman dengan kapsyen meluahkan rasa rindu dan sayang terhadap anaknya itu. – K! ONLINE