ALOR SETAR – Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) bersyukur apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri tercapai menerusi Projek Pembiayaan Peribadi i-Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Menurut Mohamad Nasir Ismail, 38, dia gembira apabila dapat menyediakan rumah yang selesa di Kampung Telok Gerigis di sini untuk didiami bersama isteri, Nor Baizura Ramli, 39, dan tiga anaknya berusia tujuh, 10 dan 12 tahun.
“Saya sekeluarga sebelum ini tinggal dalam kawasan pondok (pengajian Islam) di Bukit Pinang dengan satu bilik sahaja selama 12 tahun yang mana kami guna almari sebagai penghadang bagi mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan Rumah Projek Pembiayaan Peribadi i-Asnaf itu yang dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Hubungan Strategik BIMB, Mohd. Nazri Chik.
Katanya, rumah baharu dengan tiga bilik itu yang dibina pada November tahun lalu siap sepenuhnya pada awal tahun ini.
“Alhamdulillah, impian kami sekeluarga untuk memiliki rumah sendiri yang selesa akhirnya tercapai menerusi Projek Pembiayaan Peribadi i-Asnaf ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, rumah bernilai RM45,000 itu merupakan rumah pertama yang berjaya disiapkan menerusi projek bersama BIMB.
“Lembaga Zakat memperuntukkan 50 peratus daripada kos membina harga rumah baharu manakala 50 peratus daripada pemohon yang membuat pinjaman peribadi dengan Bank Islam,” katanya. – K! ONLINE