KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang berdepan masalah ketika mencari buku teks dan buku kerja untuk anak-anak mereka dari pelajar Tahun 1 sehingga Tingkatan 6 kini boleh mendapatkannya di Shopee.
Ia menerusi pengwujudan portal Kedai Buku Shopee di platform e-dagang tersebut oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) bagi memudahkan ibu bapa mencari buku yang diperlukan di satu tempat.
Presiden Mabopa, Arief Hakim Sani Rahmat berkata, sebagai penerbit pihaknya sentiasa berusaha menerbitkan buku teks berkualiti tinggi serta memastikan ketersediaan di seluruh negara.
“Oleh itu, kami telah menyeru semua ahli kami untuk meningkatkan stok mereka untuk dijual atas talian dan pada masa yang sama, menghubungi penjual buku dan pengedar bagi membincangkan cara-cara untuk memudahkan penjualan buku pelajaran melalui Shopee.
“Shopee amat responsif dan memberi sokongan serta infrastruktur baik kepada kami untuk menyelesaikan isu ini,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, selain menyediakan portal Kedai Buku Shopee untuk ibu bapa, pihaknya turut memberikan sokongan tambahan kepada komuniti dengan baucar pulangan tunai Syiling Shopee 20% dengan nilai sehingga RM10 bagi pembelian buku di bawah inisiatif berkenaan.
“Walaupun tidak banyak, kami berharap usaha ini dapat membantu mengurangkan tekanan yang dilalui oleh para ibu bapa serta mendorong pembelajaran kerana kami percaya bahawa bakat dapat dicungkil dan dikembangkan melalui pendidikan,” katanya.
Buku-buku tersebut boleh didapati di https://shopee.com.my/kedaibukushopee.