PETALING JAYA – Penyanyi dan usahawan, Siti Sarah melahirkan rasa kecewa selepas melihat tindakan sekumpulan pekerja syarikat kurier J&T Express Perak mogok sehingga sanggup melempar parcel pelanggan yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut Siti Sarah atau nama penuhnya Siti Sarah Raisuddi , 37, dia berasa sedih apabila melihat barang yang dibeli dengan duit hasil titik peluh dilempar sesuka hati.
“Mana pergi sifat amanah dan tanggungjawab ketika menjalankan kerja. Saya yang lihat pun rasa sedih sangat apabila barang-barang dibeli hasil titik peluh dicampak dan dibaling.
“Kalau ada masalah sekalipun janganlah sampai merosakkan barang yang bukan kepunyaan dan hak kita. Pasti ada sebab kenapa mereka bertindak demikian,” katanya dalam satu entri Instagram semalam.
Pelantun lagu Kesetiaan itu turut simpati dengan nasib para pekerja syarikat tersebut yang tidak dibayar komisen.
“Tak tahu apa cerita sebenarnya, tapi tak bagus juga untuk mereka yang bekerja kalau melibatkan komisen ni.
“Kalau ada masalah, duduk berbincang dulu antara majikan dengan pekerja, janganlah buat macam tu sebab barang-barang tu semua tak salah tau! Kesian pembeli yang menanti penuh sabar nak dapat parcel dekat rumah.
“Saya harap pihak majikan segera ambil tahu isu ini dan sentiasa mengambil maklum masalah dan keluhan pekerja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga berharap tiada produk yang dijualnya turut diperlakukan sebegitu rupa.
“Harapnya barang yang dicampak itu bukan produk saya. Kesian customer Sarah yang tunggu dengan penuh sabar itu,” ujarya lagi.
Terdahulu, sebuah video yang memaparkan sekumpulan pekerja syarikat kurier melempar parcel pembeli tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, syarikat kurier berkenaan telah memuat naik satu rakaman video permohonan maaf daripada pekerja yang terlibat. – K! ONLINE