MELAKA – Seorang pembantu tadbir kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen disini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan pada lima tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Norshahril Ramlee, 40, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh iaitu sebagai pembantu tadbir kanan Kemas didakwa telah menerima suapan bernilai RM2,500 daripada Mohd. Hyzery Elec yang mana tertuduh mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 14 November 2016.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Irwanshah Abdul Samat, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan tertuduh membayar jumlah tersebut. -K! ONLINE