fbpx

RM4 juta daripada Tabung Musa’adah sudah dibelanjakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI (kanan) mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik melepaskan konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir Jakim-YWM di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Sebanyak RM4 juta daripada keseluruhan RM6 juta hasil kutipan sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 2.0 sudah dibelanjakan sebagai bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli al-Bakri berkata, sumbangan daripada tabung itu akan digunakan untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta mangsa banjir di beberapa kawasan di seluruh negara.

Katanya, jumlah kutipan daripada tabung itu akan dikemas kini setiap hari dan perbelanjaan akan dibentangkan pada setiap awal bulan.

“Yang terdahulu kutipan berjumlah RM6 juta dan perbelanjaan kira-kira RM4 juta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Wakaf Malaysia ke Dungun, Terengganu di sini hari ini.

Program yang diadakan kali ini menyasarkan misi bantuan ke Kampung Sungai Jengei, Dungun dengan membawa bantuan berjumlah RM60,000.

Bantuan tersebut antara lain seperti dapur gas, tilam, bantal, barangan keperluan wanita dan kanak-kanak, pek makanan kering yang akan disampaikan kepada 200 ketua isi rumah di daerah tersebut.

Turut hadir menerima bantuan ialah 122 pelajar keluarga berpendapatan rendah B40 dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang masing-masing menerima sumbangan RM200 setiap seorang.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan, sumbangan berjumlah RM15 juta yang telah digunakan sebelum ini dikutip daripada agensi-agensi di bawah Jakim yang turut menerima sumbangan daripada pihak-pihak tertentu.

“Justeru, saya menyeru dermawan, korporat dan seluruh rakyat Malaysia agar dapat terus menghulurkan sumbangan ikhlas ke tabung ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI