fbpx

 Enam ekor anjing import ditahan di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENAM ekor anjing yang ditahan dan dikuarantin Maqis di KLIA, Sepang pada 4 Februari lalu.

SEPANG – Enam ekor anjing yang diimport dari Taiwan ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 6 petang, 4 Februari lalu.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, Maqis mengesan kesalahan nombor mikrocip pada anjing-anjing terbabit ketika pemeriksaan rapi dilakukan pada dokumen dan fizikal haiwan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nombor mikrocip yang terdapat pada badan anjing tersebut tidak sama dengan dokumen permit import yang diisytiharkan.

“Sehubungan dengan itu, haiwan tersebut telah ditahan dan dikuarantin untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tarmisal berkata, kesalahan mengimport haiwan kesayangan dengan mengisytiharkan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhdimatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Sekiranya didapati melakukan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI