MANCHESTER – Bintang tengah Manchester United, Bruno Fernandes mengakui bahawa dia dan rakan sepasukannya yang lain perlu segera belajar daripada kesilapan selepas sekadar meraih keputusan seri 3-3 menentang Everton.
The Red Devils memulakan perlawanan dengan cukup sempurna apabila mendahului perlawanan dengan dua gol menerusi Edinson Cavani dan Fernandes sehingga waktu rehat tetapi hilang tumpuan pada separuh masa kedua sehingga Everton berjaya menyamakan kedudukan.
Scott McTominay kembali memberi harapan apabila meledak gol ketiga tetapi hasrat mereka untuk meraih mata penuh tidak kesampaian selepas Everton menyamakan kedudukan menerusi Dominic Calvert-Lewin pada masa kecederaan.
Keputusan itu nyata tidak menggembirakan pengurus mereka, Ole Gunnar Solskjaer dan Fernandes sendiri.
“Banyak perkara yang mengecewakan dalam perlawanan ini. Kami melakukan banyak kesilapan dalam perlawanan lalu tetapi kami tidak seharusnya bolos seperti aksi kali ini.
“Kami sepatutnya mempunyai keinginan untuk menjaringkan gol dan keinginan yang sama untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi. Setiap kali kami menjaringkan gol, kami juga perlu mempertahankan pintu gol sendiri. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini.
“Sudah banyak kali berlaku. Gol ketiga itu sangat mengecewakan, ia berpunca daripada sepakan yang jauh dari gawang dan bukan ancaman besar pada awalnya.
“Selepas menjaringkan gol ketiga, kami sepatutnya fikir bahawa kami tidak boleh menamatkan perlawanan ini kecuali dengan kemenangan dan mempertahankan pintu gol tetapi ia tidak berlaku. Kami perlu bangkit dengan lebih kuat,” katanya. – AGENSI