DUNIA hiburan K-pop sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian artis pujaan ramai apabila pelakon Kim Bo-kyung dilaporkan meninggal dunia 1 Februari lalu.
Memetik laporan Hankook Ilbo, Bo-kyung disahkan meninggal dunia selepas berjuang melawan barah hati yang dihidapinya selama 11 tahun.
Jenazah mendiang yang berusia 44 tahun bagaimanapun selamat dikebumikan di tempat kelahirannya, Busan semalam.
Bo-kyung yang memulakan debut dalam dunia lakonan pada 1998 merupakan graduan dari Institut Seni Seoul.
Dia terlebih dahulu muncul di layar perak menerusi filem Naked Being sebelum beberapa tahun kemudian mula membuat kemunculan perdana dalam televisyen menerusi drama School pada 2001.
Namanya kemudian semakin dikenali selepas membintangi deretan filem antaranya The Epitaph (2007), drama Behind The White Tower dan The Day He Arrives (2011).
Malah, mendiang juga pernah muncul dalam drama Blood yang dibintangi aktor Ahn Jae-hyun dan Goo Hye-sun pada 2015.
Bulan lalu, dua orang artis iaitu Song Yoo-jung dan Iron meninggal dunia pada hari yang sama iaitu 25 Januari lalu dipercayai akibat membunuh diri.