SEJAK berusia enam tahun, dia sentiasa melambai ke arah kapal terbang yang dilihatnya melintasi langit biru. Tidak cukup dengan itu, Muhamad Fazli Sharudin, 37, juga akan melaungkan pilot! pilot! dengan harapan ia dapat didengari juruterbang pesawat tersebut.
Begitulah mendalamnya cinta dan minat juruteknik pendingin hawa itu terhadap jentera pengangkutan udara.
Biarpun tidak menjadi juruterbang, Muhamad Fazli kini berbangga apabila berjaya membina simulator kokpit pesawatnya sendiri.
Uniknya, sebahagian besar simulator itu dihasilkan beliau ialah dengan menggunakan pelbagai barangan terpakai atau terbuang sejak 2017.
Barangan itu antaranya rantai dan ‘spoket’ motosikal, paip kumbahan, pengorek telinga, jaket sejuk dan paip saluran alat penghawa dingin.
Jika melihat kreativiti pembuatannya, tidak siapa mungkin menyangka ia hasil binaan oleh pemegang Sijil Penyejukbekuan dan Penyaman Udara Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor itu.
Tempoh tiga tahun itu dimanfaatkan sepenuhnya beliau untuk terus melengkapkan simulator kokpit di rumahnya di Taman Teluk Pulai, Klang.
Pembinaan simulator menyerupai pesawat Boeing 737 itu nyata tidak semudah disangka dan menelan kos kira-kira RM60,000.
Selain barangan elektronik, kos melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengubahsuaian bilik yang menempatkan tapak simulator kokpit tersebut.
Muhamad Fazli berkata, idea membina simulator itu timbul selepas teruja bermain alat kawalan jauh kapal terbang sekitar 2007.
“Pada waktu sama, saya turut kerap bermain simulator pesawat di komputer dan menonton saluran YouTube mengenainya.
“Selain itu, saya membuat pelbagai kajian dan mempelajari kaedah sesuai untuk membina sendiri simulator tersebut,” katanya.
Ujar anak kelahiran Tanjung Karang itu, pembinaannya diakui rumit dan mengambil masa sehingga tujuh jam sehari.
Selain membina rangka kokpit di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya, ia meliputi pemasangan suis, pendawaian elektronik dan transisi meter.
“Semua barangan elektronik termasuk monitor, lampu dan papan litar kebanyakannya dibeli daripada kedai perkakasan.
“Namun, hampir 60 peratus daripada binaan terdiri daripada barangan terpakai termasuk melibatkan pemasangan puluhan suis di kokpit itu.
“Dua kerusi tempat duduk juruterbang juga dibina sendiri menggunakan sofa terpakai dan jaket sejuk,” katanya.
Secara asasnya, simulator itu disambung terus ke perisian komputer, namun Muhamad Fazli menggunakan kaedah manual bagi mendapatkan kepuasan sebenar mengendalikan pesawat.
Perbezaan ketara itu dirasai apabila antaranya dapat menekan sendiri suis atau menyelaras throttle (pemulas minyak) mengikut aturan simulator.
“Pengalaman itu nyata berbeza jika dibandingkan dengan hanya menekan papan kekunci di komputer.
“Selain itu, skrin layar yang lebih besar dan deruan bunyi pembesar suara menambahkan lagi kepuasan bermain simulator,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu menambah, simulator itu merangkumi Sistem Pengurusan Penerbangan bermula daripada berlepas sehingga kepada pendaratan pesawat.
Ia antaranya meliputi kemasukan data penerbangan bagi mengenal pasti kapasiti sebenar pesawat, jumlah minyak dan daya apungan sayap.
“Sekiranya dilakukan secara teratur, semua proses itu akan berjalan lancar sehingga ke pendaratan pesawat.
“Real time (masa perjalanan sebenar) bagi permainan simulator itu juga tidak terlalu lama dan kebiasannya hanya mengambil masa kurang dua jam,” ujarnya.
Muhamad Fazli menjelaskan minatnya itu hanya sekadar hobi dan menjadi aktiviti riadah kepada keluarganya.
Isterinya, Aniza Abd. Aziz, 39, dan tiga anak berusia tiga hingga 13 tahun juga memberi sokongan dan kerap menggunakan simulator itu bagi mengisi waktu lapang.
“Lebih manis apabila kami turut menerima kunjungan beberapa juruterbang syarikat penerbangan terkemuka yang mahu melihat sendiri simulator berkenaan.
“Bagi saya, ia sekadar hobi atau kepuasan diri semata-mata dan bukannya atas faktor mahu mencari keuntungan. Saya hanya melakukan sedaya termampu dan bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang mempunyai minat sama,” katanya.
Tambahnya, simulator itu kini siap hampir 90 peratus dan dia turut sedang membina simulator kokpit pesawat Cessna.
Difahamkan, simulator seumpama itu yang ‘pasang siap’ dijual sehingga mencecah RM300,000 di Jerman.