fbpx

Murid tabika jalani sesi PdPR bawah pokok langsat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GUA MUSANG – Kanak-kanak Orang Asli yang berdaftar dengan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Kuala Betis di sini tidak ketinggalan belajar menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ibu bapa yang mempunyai telefon pintar berusaha mencari capaian internet yang baik di kawasan kampung mereka setiap kali PdPR berlangsung.

Biarpun kekok dengan kaedah PdPR, ibu bapa kaum Orang Asli memberi galakan dengan menyediakan kelengkapan belajar.

Seorang suri rumah, Julina Akun, 21, berkata, dia sudah membuat persiapan untuk pembelajaran anaknya setiap awal pagi.

Katanya, ini kerana, dia perlu mencari kawasan sesuai untuk capaian internet.

“Selalunya, saya akan mengajar anak di bawah pokok langsat di halaman rumah untuk mencari liputan internet.

“Saya bernasib baik kerana tahu membaca dan kemahiran itu dapat membantu kerja sekolah anak yang dihantar melalui telefon dan buku latihan berjaya disiapkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Asman Hassan, 27, berkata, mereka berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dengan segera agar anak-anak yang masih kecil boleh belajar secara bersemuka dengan guru.

Katanya, ketika ini, mereka cuba membiasakan diri untuk menjadi guru kepada anak-anak di rumah.

“Mengajar anak-anak di rumah mewujudkan suasana yang berbeza berbanding di kelas tabika.

“Kebanyakan anak-anak lebih takut dan mendengar arahan guru mereka di kelas. Di rumah, kami ibu bapa perlu tegas agar pembelajaran di rumah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI